Rencana Di petik dari BERITAHARIAN.com
Bersama Johan Jaaffar (zulujj@tm.net.my)
Di Luar Lingkaran: Pemimpin kena dekat di hati rakyat
Selain personaliti bersih dan tak 'mabuk' kuasa, ketua kena ada kekuatan luar biasa
MENURUT kitab Sejarah Melayu, sezalim-zalim Sultan Mahmud Shah tunduk juga baginda kepada guru agamanya. Menurut riwayatnya, baginda berangkat untuk mempelajari ilmu agama kepada Maulana Yusuf. Seperti biasa beliau naik gajah dengan diiringi oleh orang banyak. Melihat keberangkatan Sultan, Maulana itu mengarahkan pintu rumahnya ditutup rapat. Maka berangkat pulanglah Sultan Mahmud ke istana. Pada malamnya, dengan hanya dua pengawal, baginda berangkat semula ke rumah Maulana. Baginda menitahkan kepada penunggu pintu, "Beritahu Maulana bahawa Fakir Mahmud datang." Kata Maulana, "Jika Fakir Mahmud, buka pintu, fakir patutlah datang ke rumah samanya fakir."
Demikianlah dalam Cetera Yang Kedua Puluh Enam kitab tersohor Sejarah Melayu, diceritakan bagaimana adabnya berguru, walau siapapun yang hendak belajar, termasuk raja. Menurut Kamus Dewan 'fakir' bermaksud 'orang yang berkurangan, miskin' atau 'orang yang sengaja atau dengan kerelaan sendiri mengalami atau menanggung serba kekurangan dalam hidupnya untuk dapat kesempurnaan batin.'
Seperti kita tahu Sejarah Melayu karangan Tun Seri Lanang banyak sekali menunjukkan bagaimana hubungan di antara raja dan rakyat, di antara pembesar dan rakyat dan sesama rakyat. Terlalu banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripadanya khususnya dalam konteks tata cara, adab sopan dan hidup bernegara. Banyak sekali dikisahkan kezaliman yang diperlakukan kepada rakyat, serta bagaimana rakyat harus menanggung kekecewaan akibat keangkuhan, kesombongan dan kealpaan raja dan pemimpin.
Rakyat melihat bagaimana kekayaan yang melimpah ruah dan kemakmuran yang tidak dapat mereka nikmati. Rakyat menyaksikan sendiri bagaimana Bendahara Seri Maharaja memberikan emas 'segenggam seorang perbuat main' kepada anak buahnya dan bagaimana emasnya dikatakan 'dibubuhnya pada segenap pahatan bendul dan pahatan pintu' di rumahnya.
Tetapi seperti perjanjian di antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun, rakyat akan terus setia asalkan raja tidak menganiaya rakyat mereka. Hal yang sama sepatutnya berlaku di antara pembesar atau pemimpin dengan rakyat. Rakyat mendukung, pemerintah melindungi. Masing-masing memerlukan satu sama lain. Itulah prinsip kelangsungan mana-mana kerajaan di dunia.
Malangnya kuasa melalaikan, kuasa yang banyak memabukkan. Yang tidak banyak kuasa berlagak berkuasa penuh. Kuasa yang sedikit lebih berbahaya sekiranya jatuh pada orang yang berkepentingan atau bermotif jahat. Kuasa ada kaitannya dengan peluang. Peluang maksudnya membuat keuntungan. Wang maksudnya alat kuasa. Wang boleh membeli apa saja. Maruah dan harga diripun ada kalanya boleh dijual beli.
Sejarah empayar Melayu yang hebat dari Samudera, Pasai dan Melaka, semuanya tumbang oleh kemabukan kuasa pemimpinnya. Musuh tidak pernah kuat. Dalam sebarang pilihan raya, yang kuat bukan parti lawan tetapi kerana parti memerintah dilemahkan. Musuh berjaya kerana kelemahan dari dalam apabila pemimpin berantakan, bergaduh, berkonflik. Atau apabila pemimpin melupakan tanggungjawab dan amanah. Atau apabila mereka berhenti mendengar.
Tan Sri Aziz Tapa, tokoh veteran Umno dari Melaka memberikan saya serangkap pantun yang menarik:
"Anak raja memikul kayu;
mari dibuat batang titian;
malang nasib anak Melayu;
pemimpin asyik dengki-dengkian."
Menurut beliau, pantun itu diberikan padanya oleh Pak Hamka yang sering bertandang ke rumah beliau ketika hayatnya. Hamka menceritakan kisah dua orang manusia, seorang pembesar Negeri Sembilan dan seorang Munsyi yang tersohor pada awal abad ke-20. Kedua-duanya hendak menyeberang sungai tetapi titian patah, lalu mereka sama-sama membuat titian baru. Itulah yang mengilhamkan Munsyi berkenaan mencipta pantun berkenaan.
Apa yang lebih penting ialah moral pantun yang amat bermakna itu. Seperti digambarkan dalam kitab Sejarah Melayu, terlalu banyak kerosakan yang dibuat oleh pemimpin terhadap negara dan rakyatnya semata-mata kerana zalim, angkuh dan tamak. Demikian juga, banyak kebinasaan yang terjadi apabila rakyat bersengketa, berkomplot dan bersekongkol sesama sendiri atau dengan musuh. Sejarah Melayu juga menceritakan bagaimana pendengki bernama Si Kitul dan Raja Mendeliar menyebabkan huru-hara kerajaan Melaka dan kejatuhan empayar Melayu itu.
Tetapi apabila raja, pembesar dan rakyat sehati dan sekata, Melaka hebat dan gah. Bukan saja kerajaan Majapahit ditundukkan dan Raja China menghantar puterinya Hang Li Po untuk dikahwini oleh Sultan tetapi ancaman daripada Siam, Bugis dan lain-lain dapat dihalang. Sultan Alauddin sendiri turun ke tengah rakyat dengan menyamar bagi melihat keadaan sebenar rakyat. Baginda bukan saja dapat menumpaskan percubaan mencuri tetapi juga menyebabkan pegawainya malu kerana gagal mengesan kejadian pada malam itu.
Tenas Effendy menulis buku Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka). Buku ini harus menjadi bacaan wajib setiap pemimpin di negara ini. Dalam buku ini beliau menyenaraikan 194 jenis pemimpin seperti dilihat dalam ungkapan tradisional Melayu. Beliau menghuraikan maksud pemimpin, kedudukan, fungsi dan tanggungjawab mereka sebagai panduan untuk semua. Walaupun banyak ungkapan ini dipetik dari Riau tetapi amat relevan untuk orang Melayu seluruhnya.
Pemimpin ialah mereka 'yang dituakan', atau 'yang didahulukan selangkah, yang ditinggikan seranting, yang dilebihkan serambut, yang dimuliakan sekuku.' Malah sebenarnya, walaupun mereka ketua, tetapi dalam konteks dengan rakyat 'jauhnya tidak berjarak, dekatnya tidak berantara.'
Pemimpin harus mempunyai 'pakaian' yakni sifat dan keperibadiannya. Sebahagian ungkapan itu menyentuh hal ini: 'Memakai syarak lahir dan batin, imannya tebal adat pun kental, takwanya nampak ilmu pun banyak, berdada lapang berfikiran panjang, bermuka jernih berlidah fasih, berpendirian kukuh berakal senonoh, berpijak tidak berkisar, bercakap tidak beralih.'
Pemimpin 'bagaikan kayu besar di tengah padang, rimbun daunnya tempat berteduh, kuat dahannya tempat bergantung, kukuh batangnya tempat bersandar, besar akarnya tempat bersila.'
Demikianlah cara masyarakat Melayu menghargai pemimpin. Begitulah juga idealisme yang perlu menjadi teras kekuatan seorang pemimpin. Amaran ungkapan Melayu, 'bila pemimpin tak tahu diri, umat binasa rosaklah negeri.' Rumusannya ialah, 'elok kain elok raginya, elok pemimpin elok negerinya.'
Pada zaman moden ini, isu kepemimpinan Melayu menjadi bahan perbincangan hangat setiap kali berlaku pilihan raya atau berlaku pemilihan pada peringkat parti. Mungkin kerana orang Melayu rata-rata beragama Islam di negara ini, maka nilai kemelayuan itu selalu dikaitkan dengan sifat yang dikehendaki sebagai pemimpin Muslim juga. Tidak mudah menjadi pemimpin Melayu sebenarnya, khususnya dalam senario negara pelbagai kaum. Pemimpin kerajaan dari kalangan Melayu harus memakai dua pakaian sepasang sebagai pemimpin rakyat Malaysia, sepasang lagi sebagai pemimpin Melayu.
Ada pandangan semasa yang mengatakan pemimpin Melayu tidak wajar lagi menjadi juara bangsanya. Mereka harus melihat daripada kerangka minda yang lebih besar. Lalu mereka akan cuba mengatakan perlunya dibenamkan saja hal-hal seperti Agenda Melayu atau sebarang dasar yang pro-Melayu. Tetapi tuntutan sedemikian tidak pula terdengar dipaksakan pada pemimpin kaum lain. Malah seringnya ada pemimpin bukan Melayu yang berselindung di sebalik kepelbagaian budaya atau multi-culturalism untuk mengetengahkan agenda perkauman secara halus.
Titik tolaknya ialah niat perjuangan masing-masing. Idealisme boleh padam oleh waktu dan keperluan. Bara perjuangan juga boleh pupus. Malah, hari ini usaha memperjuangkan nasib orang Melayu boleh dicemuh oleh orang Melayu sendiri. Zaman berubah, begitu juga nilai dan kepentingan. Pemimpin Melayu hari ini memerlukan kekuatan luar biasa untuk menempatkan di mana sebenarnya mereka di antara menjadi realis, pragmatis atau oportunis.
Biarlah kisah pemimpin besar Islam menjadi pedoman. Biarlah kitab Sejarah Melayu dipelajari oleh semua. Biarlah buku ungkapan nasihat yang ditulis oleh Tenas sentiasa menjadi rujukan. Moga-moga di tengah haru-biru banyak pemimpin Melayu menanyakan diri, kedudukan dan peranan mereka pasca pilihan raya 2008, mereka akan diberikan kekuatan dan pedoman untuk terus memperjuang dan membela bangsa, agama dan tanah air. Itupun sekiranya konsep itu tidak dijadikan bahan cemuhan anak bangsanya sendiri.
This blog is dedicated to all my family and friends. And also to all of you who are enjoying my blog. Have fun with it and 'use it well'. Love you always..
Salam to all of you...
Salam to all bloggers and viewers..
Hope you all in a good health...
Happy New Year 2012!!!!!!!!!!
May all your works done and move step ahead to raise you up from all the mistakes and troubles which has happened last year.. Take your mind straight to the future.. Put your past behind.. So that you can fly and touch the sky.. High above the rest and become the best.. Go! Go! Go!...
Furthermore, the weather is unpredictable these days..
So, take good care of your body to stay healthy.. Don't get wet in the rain.. Drink a lot of clean water.. That's the key of healthy.. Don't eat too much meat.. It's bad for your body.. Eat more vegetables.. To know more about healthy just go to my Lifestyle corner where you can find such an amazing facts and sites about health, lifestyle, beauty and leisure..
Take care.. Stay healthy..May GOD bless us all...
Thank you for visiting & reading my blog..
Any inquiry or comment or share please send to me at syahinoue@gmail.com
Thank you for visiting & reading my blog..
Any inquiry or comment or share please send to me at syahinoue@gmail.com
Monday, April 14, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment